July 10, 2011

Realiti Dunia Kontraktor di Malaysia

Aku adalah merupakan seorang pelajar kejuruteraan kimia. Walaupun aku belajar di jurusan tersebut, akan tetapi aku melengkapkan latihan industriku di sebuah syarikat yang bertumpu dalam bidang kejuruteraan awam.

Kenapa aku memilih syarikat ini? sebabnya aku ingin mempelajari selok-belok dunia kontraktor dan aku ingin menjadi seorang kontraktor yang berjaya suatu hari nanti.

Bagiku, pengalaman sebagai supervisor site projek merupakan suatu pengalaman yang cukup berharga. Melalui jawatan supervisor inilah aku mampu memahami serba sedikit tentang urusan di site, bagaimana untuk memahami dan mengendalikan tingkah laku pekerja, dan aku juga mampu memahami lebih banyak perangai manusia.

Tapi, bukan itu yang aku ingin utarakan di sini. Sebagai site supervisor,aku juga telah ditugaskan untuk menemui beberapa kontraktor utama untuk tujuan mendapatkan projek, dan aku juga ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja sampingan, untuk mengisi poketku dan juga kantung syarikat.

Daripada pengamatan aku, semakin aku mengenali dunia kontraktor, semakin jauh ingin aku melarikan diri. Rata-rata kontraktor atau subkontraktor yang aku temui mempunyai satu persamaan, sukakan wanita jalang dan juga minuman keras. Ada yang gemar salah satu dan ada juga yang gemar kedua-duanya sekali. Sehinggakan aku sendiri diajak untuk melakukan kedua-dua perkara terkutuk tersebut. Alhamdulillah, rasa malu kepada-Nya masih menebal dalam diriku.

Semakin aku mendalami dunia ini juga, semakin aku sedari bahawa dunia ini penuh dengan tipu dan helah, semata-mata untuk mendapatkan wang walaupun jumlah itu hanya mampu menyara makan-minum hanya untuk sehari. Dari pengamatan aku, golongan kontraktor gemar menabur janji demi mendapatkan wang deposit sesuatu projek. Apabila wang deposit dimiliki, sesetengah antara mereka segera menghilangkan diri.

Ada antara mereka yang bersikap lepas tangan. Segala permasalahan diserahkan kepada pekerjanya yang mungkin tidak mengetahui apa-apa tentang perkara tersebut. Ada juga antara mereka yang melakukan kerja-kerja projek secara ‘ajaib’. Kerja belum dilakukan, tetapi segala sampel dan ‘bukti’ yang menunjukkan kerja sudah dijalankan ditunjukkan kepada mereka-mereka yang memberi projek. Bagaimana mengikut hukum Islam tentang memiliki wang hasil dari penipuan? Apakah wang itu halal? Apakah wang itu boleh dibelanjakan untuk keluarga?

Sesetengah kontraktor pula lebih berminat untuk menghulur wang ‘minum air’ kepada sang pelulus sesuatu projek. Apakah ini tidak dikira sebagai rasuah? Apakah tiada hadith Nabi yang menyentuh isu rasuah?

Akan tetapi tidak aku nafikan, wujud juga golongan-golongan yang jujur dan ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja yang diberikan. Kerja-kerja yang dilakukan menepati piawai yang telah ditetapkan oleh pemberi kontrak. Andai golongan ini menguasai dunia kontraktor, maka tiadalah siling parlimen yang bocor berulang kali, maka tiadalah bumbung stadium yang runtuh, maka tiadalah jalan berlubang walau hanya selepas seminggu diturap, maka tiadalah berlaku kerosakan rumah akibat tanah mendap.

Akan tetapi persoalannya, bilakah golongan ini akan menguasai dunia kontrak? 

No comments:

Post a Comment